PUSAKA
Tersalah Fail Tuntutan Pusaka? Ini Prosedur Sebenar Urus Harta Simati di Sabah
Table of Contents
Pernahkah anda mendengar cerita waris beratur panjang di Pejabat Agama, tetapi akhirnya diminta pulang kerana mereka tersalah tempat?
Berdasarkan pengalaman saya semasa praktikal di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dahulu, ini adalah pemandangan biasa. Ramai waris menyangka urusan harta pusaka adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam. Hakikatnya, pengurusan harta pusaka bagi orang Islam di Sabah tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Di Sabah, prosesnya sebenarnya lebih unik dan “berpusat” berbanding di Semenanjung. Segala tuntutan seperti pengesahan hibah, harta sepencarian, wasiat, hak penjagaan anak, sehinggalah tuntutan pusaka diuruskan di bawah satu institusi yang sama iaitu Mahkamah Syariah.
Namun, walaupun sistemnya memudahkan, masalah tetap timbul apabila waris tidak tahu langkah undang-undang yang betul. Jika anda mempunyai keluarga atau harta di Sabah, berikut adalah panduan lengkap cara menguruskannya:
9 Langkah Urus Tuntutan Harta Pusaka di Sabah
1. Perlantikan Wasi atau Pentadbir
Langkah pertama yang paling kritikal adalah melantik seorang Wasi atau Pentadbir yang amanah. Kunci utama di sini ialah muafakat. Jika semua waris setuju, proses akan menjadi lancar. Jika tidak, di sinilah bermulanya konflik yang boleh melambatkan urusan bertahun-tahun.
2. Penyediaan Dokumen Lengkap
Pentadbir perlu mengumpul dokumen penting seperti:
Surat iringan dan notis permohonan.
Afidavit sokongan.
Dokumen pengenalan diri semua waris.
Sijil Kematian.
Bukti pemilikan harta (Geran tanah, buku bank, dll).
3. Pendaftaran di Mahkamah yang Betul
Nilai harta menentukan di mana anda perlu failkan permohonan:
Harta bawah RM 300,000: Failkan di Mahkamah Rendah Syariah.
Harta atas RM 300,000: Failkan di Mahkamah Tinggi Syariah.
4. Sebutan Kes Pertama
Lazimnya, dalam tempoh 14 hingga 21 hari selepas pendaftaran, kes akan disebut di hadapan Pendaftar atau Hakim untuk penelitian awal.
5. Perbicaraan Pusaka & Penentuan Faraid
Semasa perbicaraan, waris akan dimaklumkan tentang bahagian masing-masing mengikut hukum Faraid. Di sini, waris diberi pilihan: mahu membahagikan mengikut Faraid sepenuhnya atau secara Muafakat (Takharuj).
6. Kehadiran Waris
Jika ada waris yang tidak dapat hadir, mereka wajib melengkapkan borang persetujuan bertulis yang disediakan oleh mahkamah dan ditandatangani di hadapan Pendaftar atau Hakim.
7. Hak Rayuan
Sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan, rayuan boleh dibuat dengan memfailkan Notis Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan kes.
8. Pengeluaran Perintah/Surat Kuasa
Setelah mahkamah berpuas hati, Perintah Pembahagian atau Surat Kuasa Mentadbir akan dikeluarkan secara rasmi.
9. Pelaksanaan dan Pembahagian
Tugas terakhir pentadbir adalah mencairkan aset (seperti mengeluarkan wang simpanan atau tukar milik geran), menyelesaikan segala hutang simati, dan seterusnya membahagikan baki harta kepada waris yang berhak.
Kesimpulan: Jangan Biarkan Harta Menjadi Fitnah
Bagi warga Sabah atau anda yang mempunyai aset di negeri di bawah bayu ini, ambil cakna tentang prosedur ini. Ilmu pengurusan pusaka bukan sekadar tentang wang ringgit, tetapi tentang memastikan amanah simati ditunaikan dengan sempurna.
Pastikan harta yang ditinggalkan menjadi barakah untuk keturunan, bukannya punca fitnah dan perpecahan keluarga.
Adakah anda sudah melantik pentadbir untuk harta keluarga anda? Hubungi pakar pewarisan harta Islam jika anda memerlukan bimbingan lanjut.