FARAID
Rumah Nama Bersama: Betul Ke Automatik Jadi Milik Pasangan Jika Meninggal Dunia?
Beli rumah bersama pasangan memang satu impian yang indah. Letak nama suami dan isteri dalam perjanjian jual beli (S&P) dengan harapan, jika ada apa-apa berlaku kepada salah seorang, rumah tersebut akan terus menjadi hak milik mutlak pasangan yang masih hidup.
Tapi tahukah anda? Dari sudut undang-undang dan hukum syarak, persepsi ini adalah SALAH.
Mari kita fahami realiti sebenar kes faraid rumah nama bersama supaya rumah impian tidak bertukar menjadi punca perbalahan keluarga di kemudian hari.
Kisah Hasyim & Fatimah: Realiti Faraid Rumah Dua Nama
Bayangkan situasi ini:
Hasyim dan Fatimah membeli sebuah rumah bernilai RM800,000 atas nama bersama. Ditakdirkan Allah, Fatimah meninggal dunia terlebih dahulu dan meninggalkan suami (Hasyim), seorang ibu kandung, seorang anak lelaki, dan seorang anak perempuan.
Apa yang terjadi pada status rumah mereka?
50% Hak Hasyim (Suami): Kekal menjadi milik Hasyim (RM400,000).
50% Hak Arwah Fatimah: Bahagian ini (RM400,000) tidak automatik bertukar kepada Hasyim. Ia akan DIBEKUKAN serta-merta dan dikategorikan sebagai harta pusaka yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraid.
Formula Pembahagian Faraid Rumah Nama Bersama

Klik untuk infografik yang lebih jelas >>> faraid rumah dua nama
Mengikut kaedah pengiraan faraid (seperti dalam infografik), bahagian arwah Fatimah yang bernilai RM400,000 itu terpaksa dipecahkan kepada waris-waris sah mengikut kadar berikut:
1. Suami (Hasyim) – Dapat 1/4 Bahagian (RM100,000)
Hasyim mendapat ketetapan 1/4 daripada bahagian arwah isterinya kerana mereka mempunyai anak (zuriat).
2. Ibu Kandung Arwah – Dapat 1/6 Bahagian (RM66,666.67)
Ibu arwah juga mempunyai hak dalam harta pusaka anaknya kerana arwah meninggalkan anak keturunan.
3. Anak Lelaki & Anak Perempuan – Dapat Baki (Asabah)
Baki harta akan dibahagikan kepada anak-anak dengan nisbah 2:1 (2 bahagian untuk anak lelaki, 1 bahagian untuk anak perempuan).
Anak Lelaki: 14/36 (RM155,555.56)
Anak Perempuan: 7/36 (RM77,777.78)
Sebab itu penting untuk sedar: Walaupun Hasyim yang tinggal dan membayar bulanan rumah tersebut sebelum ini, dia kini berkongsi hak milik rumah itu dengan ibu mentua dan anak-anaknya dari segi hukum.
Impak Besar Jika Harta Pusaka Rumah Dibekukan
Persoalan besar yang sering timbul: Mampukah pasangan yang hidup “membeli” semula bahagian waris lain?
Jika waris (seperti ibu mentua atau adik-beradik dalam kes lain) menuntut hak mereka dalam bentuk tunai, pasangan yang masih hidup terpaksa mencari wang ratusan ribu ringgit untuk membayar bahagian tersebut. Jika gagal, mahu atau tidak, rumah itu terpaksa dijual untuk membahagikan duit jualan kepada semua waris.
Akhirnya, pasangan yang ditinggalkan bersama anak-anak kecil kehilangan tempat berteduh.
Bagaimana Cara Mengelakkan Masalah Ini?
Islam itu indah dan sentiasa menyediakan jalan penyelesaian. Untuk memastikan rumah nama bersama tidak mendatangkan bebanan kepada pasangan di kemudian hari, anda boleh melakukan perancangan awal melalui instrumen berikut:
Deklarasi Hibah Hartanah: Anda boleh menghibahkan 50% bahagian anda siap-siap kepada pasangan atau anak-anak semasa hidup. Apabila meninggal dunia, bahagian itu tersebut telah pun menjadi milik penerima hibah dan tidak perlu difaraidkan.
Penyediaan Khairat Pusaka (Al-Wasitah): Setiap harta yang berdaftar akan melalui proses pusaka, penyediaan khairat pusaka dapat membantu meringankan urusan waris yang ditinggalkan terutama untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir.
Rancang Sekarang Sebelum Terlambat
Jangan biarkan aset yang kita usahakan dengan air mata menjadi punca keretakan hubungan kekeluargaan. Faraid adalah hak, tetapi merancang untuk melindungi kebajikan orang tersayang juga adalah satu tanggungjawab yang dituntut.
Adakah rumah anda diletakkan di bawah nama bersama?
Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi rumit. Hubungi perunding perancangan harta pusaka berorientasikan syariah hari ini untuk khidmat nasihat lanjut.